Terjemahan: Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada di
dalam kerugian, melainkan mereka-mereka yang beriman dan beramal salih serta
berpesan-pesan pada kebenaran dan kesabaran. (Al-‘Asr, 103 : 1-3).
4.1 Pengurusan Waktu
Sembahyang.
Sembahyang merupakan ibadat yang paling penting sekali di
dalam Islam sehingga ia diumpamakan sebagai tiang agama oleh Rasulullah (SAW).
Agama Islam telah mengarahkan umatnya agar memelihara waktu–waktu sembahyang
ini demi kebaikkan hidup mereka di dunia dan akhirat.
i.
Ketetapan Waktu Sembahyang.
Allah s.w.t. telah menetapkan waktu-waktu solat yang
tertentu bagi kaum muslim menerusi firmaNya;
Terjemahan: Sesungguhnya sembahyang itu adalah fardhu yang
telah ditentukan waktunya atas orang-orang yang beriman. (al-Nisa’, 4 : 103).
Rasulullah (SAW) telah memberi penjelasan secara terperinci
terhadap waktu-waktu sembahyang yang wajib dipatuhi oleh setiap umat Islam
melalui amal perbuatannya sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh Jabir bin
Abdullah;
Terjemahan: Bahawa Rasulullah (SAW) mengerjakan sembahyang
zohor di tengah hari (selepas gelincirnya matahari), sembahyang asar semasa
matahari masih cerah, sembahyang maghrib apabila mathari terbenam, sembahyang
isyak apabila orang ramai telah berkumpul, maka baginda menyegerakannya dan
apabila mereka itu sedikit, maka Baginda (SAW) melambatkannya, dan sembahyang
subuh pula apabila masih gelap lagi. (al-Bukhari, jil. 2 : 142).
Menjadi kewajipan ke atas umat Islam untuk memelihara
waktu-waktu sembahyang yang telah ditetapkan oleh Allah dan RasulNya.
ii.
Tuntutan Memelihara Waktu Sembahyang.
Penekanan terhadap umat Islam supaya memelihara waktu
sembahyang lima waktu terutamanya sembahyang fardhu asar telah pun ditegaskan
oleh Allah ta’ala di dalam firmaNya yang bermaksud :
Terjemahan: Peliharalah semua sembahyang (mu) dan
peliharalah sembahyang wustha (asar). Berdirilah untuk Allah dalam sembahyang
kamu dengan khusyu’. (al-Baqarah, 2 : 238).
Menerusi hadith qudsi yang telah diriwayatkan oleh Abu
Qatadah bin Rabi’, Rasulullah (SAW) telah menjelaskan bahawa Allah ta’ala telah
menjanjikan kepada sesiapa daripada umat Islam yang memelihara waktu sembahyang
lima waktu untuk menduduki syurga.
Terjemahan: Daripada Abu Qatadah bin Rabi’ (r.a) telah
berkata : Rasulullah (SAW) telah bersabda : “Allah Ta’ala telah berfirman :
“Sesungguhnya Aku telah memfardhukan atas umatmu lima kali sembahyang Aku telah
mengikat janji iaitu barangsiapa memeliharanya tepat pada waktunya, Aku akan
masukkan dia ke syurga, dan barangsiapa tidak memeliharanya, maka tidak ada
ikatan bagiku dengannya”. (Abu Daud, 1992, jil. 1 : 228).
4.2 Pengurusan waktu
Pembelajaran.
Kewajipan menuntut ilmu pengetahuan telah pun dijelaskan
oleh Baginda (SAW) di dalam hadithnya;
Terjamehan: Menuntut ilmu adalah wajib ke atas setiap
muslim. (Sunan Ibn Majah, al Muqaddimah : 220)
Kedudukan golongan yang berilmu adalah lebih tinggi dan
mulia dari golongan yang tidak berpengetahuan berdasarkan kepada firman Allah
ta’ala;
Terjemahan: ...Allah meninggikan darjat orang-orang yang
beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan ugama
(dari kalangan kamu) - beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam
PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan.. (al-Mujadilah, 58 : 11).
Oleh itu umat Islam disarankan agar memanfaatkan waktu
terluang untuk mendapatkan ilmu pengetahuan.
i.
Kelonggaran Menentukan Waktu Pembelajaran.
Islam tidak pernah menetapkan suatu waktu yang tertentu ke
atas umat Islam supaya mematuhinya untuk mendapatkan ilmu pengetahuan,
sebaliknya satu kelonggaran telah diberikan kepada umat Islam untuk menentukan
waktu yang difikirkan sesuai untuk mereka menimba ilmu pengetahuan.
Terjemahan: Ibn Mas’ud (r.a) telah menjelaskan sikap
Rasulullah (SAW) berhubung masalah pengurusan waktu pembelajaran seperti
berikut : “Adalah Nabi (SAW) selalu mencari waktu-waktu yang sesuai untuk
memberikan pelajaran dan ilmu pengetahuan supaya kami tidak merasa jemu dan
bosan”. (al-Bukhari, jil. 1 : 79).
Ini adalah bertujuan untuk mengelakkan rasa jemu dan bosan
terhadap diri umat Islam di dalam mencari serta mendapatkan ilmu pengetahuan.
Terjemahan: Dari Mansur, dari Abu Wail telah berkata :
“Adalah Abdullah memberi pengajaran kepada manusia pada tiap-tiap hari khamis,
maka berkata seorang lelaki : “Wahai Abu Abd Rahman, demi Allah aku sangat
gembira sekiranya engkau dapat memberi pengajaran kepada kami tiap-tiap hari”.
Jawabnya : "Tidak ada halangan bagiku dari hal tersebut, cuma aku tidak
suka ianya akan membebankan kamu, sesungguhnya akau mencari waktu yang baik
untuk memberi pengajaran, sebagaimana pernah Nabi (SAW) mencari waktu yang baik
(sesuai)untuk memberi pengajaran kerana takut kami akan ditimpa perasaan jemu
dan bosan”. (al-Bukhari, jil. 1 : 80).
ii.
Menentukan Hari khusus Bagi Wanita Menutut Ilmu
Sesungguhnya Agama Islam tidak pernah mengabaikan hak dan
keistimewaan bagi kaum wanita untuk mendapatkan ilmu pengetahuan. Rasulullah
(SAW) telah bersetuju memperuntukan suatu hari yang khusus bagi kaum wanita
mendapatkan ilmu pengetahuan apabila diminta berbuat demikian.
Terjemahan: Daripada Abu Sa’id al-Khudri bahawa kaum wanita
telah berkata kepada Rasulullah (SAW) : “Orang lelaki telah mengatasi kami
dengan engkau, maka tentukanlah bagi kami suatu hari (untuk menuntut
ilmu)”.Rasullulah (SAW) telah menjanjikan mereka suatu hari untuk menemui
mereka pada hari tersebut untuk memberi nasihat dan arahan-arahan”.
(al-Bukhari, jil. 1 : 109).
4.3 Kesimpulan.
Umat Islam diarahkan supaya memelihara waktu-waktu
sembahyang fardhu yang telah ditetapkan oleh Allah dan Rasulnya, manakala
berhubung dengan waktu memberi atau mendapatkan ilmu pengetahuan adalah
terserah kepada umat Islam untuk menentukan waktu yang difikirkan bersesuaian.
Nasib kaum wanita untuk mendapatkan ilmu pengetahuan juga tidak boleh diabaikan
dan menjadi suatu kewajipan ke atas pihak yang bertanggung jawab agar
memperuntukkan suatu hari yang khusus bagi kaum wanita mendapatkan ilmu
pengetahuan.
No comments:
Post a Comment