Tuesday, May 22, 2012

Pengenalan


Pengurusan masjid bererti pentadbiran yang baik berdasarkan kepda peraturan tertentu dan tidak melanggar peraturan yang sedia ada termasuklah pentadbiran, kemudahan asas, kewangan, kepegawaian, keselamatan, pendidikan dan keceriaan masjid berpandukan kepada al-Quran dan al-Hadith Rasulullah (SAW).

Masjid perlu kepada pengurusan yang baik dan cekap yang amat bergantung kepada kebolehan jawatan kuasa masjid berperanan. Zaman Rasulullah SAW dahulu masjid diurus sendiri oleh baginda sejak daripada pembinaannya hinggalah kepada pengimarahannya. Walaupun tidak ada secara berstruktur seperti hari ini namun begitu pengurusannya amat baik sehingga pada setiap waktu masjid nabi ini diimarahkan ribuan manusia sehinggalah ke hari ini. Tidak seperti masjid-masjid lain yang kedapatan ahli jamaahnya tidak sampai satu saf.

Terdapat juga di beberapa buah masjid di Malaysia ini memang mendapat sambutan baik dalam kalangan masyarakat. Setiap kali waktu solat kita akan dapati berpusu-pusu jamaah datang mengambil bahagian. Apabila kita meneliti terdapat beberapa kelebihan yang disediakan seperti kelas-kelas pengajian, bantuan kebajikan kepada masyarakat setempat, kemudahan komputer, kemudahan internet, bimbingan ustaz dan sebagainya yang boleh menarik anak kariah untuk hadir. Ini merupakan betapa pentingnya pengurusan masjid ditingkatkan.

Semua pihak perlu memberi sokongan dalam memajukan aktiviti masjid. Jika ada masalah yang timbul maka segera diselesaikan. Anak-anak muda remaja diberi peluang untuk mengimarahkan masjid dengan diberi tugas tertentu dan mengadakan lawatan-lawatan sambil belajar kepada mereka. Dengan ini akan bertambah minat mereka untuk mendampingi masjid.

Sukan juga diperkenalkan di beberapa masjid. Ini suatu pemikiran yang baik untuk mendekatkan golongan muda mudi dengan masjid. Sukan yang berbentuk indoor atau outdoor dapat merangsang minat mereka kepada masjid. Semua ini perlu kepada pengurusan yang cekap dan baik.

Pengurusan Kepegawaian.


Umat Islam dituntut supaya sentiasa bergerak dan berkerja dalam bentuk berjamaah. Oleh itu suatu penubuhan organisasi untuk menguruskan dan memelihara hal ehwal umat Islam adalah menjadi suatu kewajipan ke atas umat Islam tidak kira di mana juga mereka berada berdasarkan kepada sabda Nabi Muhammad (SAW) yang telah diriwayatkan daripada Abu Sa’id al-Khudri (r.a) yang bermaksud :

Terjemahan: Bahawasanya Rasulullah (SAW) telah bersabda : “Apabila tiga orang keluar rumah untuk suatu perjalanan, maka hendaklah salah seorang di antara mereka dilantik sebagai ketua rombongan yang mengurusi hal mereka”. (Abu Daud, 1992, jil . 3 : 350).

Kepentingan wujudnya sesebuah organisasi berdasarkan kepada hadith tersebut di atas adalah bertujuan untuk menyatupadukan segala usaha dan tindakkan seterusnya memberi kekuatan dan kejayaan kepada umat Islam. Dan organisasi ini mestilah ditadbir dan diuruskan berdasarkan kepada prinsip-prinsip pengurusan yang telah ditetapkan oleh Allah dan RasulNya.

2.1   Asas Pengurusan Dan Pentadbiran Islam.

Tidak terdapat sebarang nas daripada al-Quran mahupun al-Hadith yang menjelaskan tentang suatu sistem pentadbiran yang mesti dipatuhi oleh umat Islam, sebaliknya Islam telah menggalakkan umat Islam mewujudkan sebuah organisasi untuk mentadbir dan mengurus segala urusan mereka serta memberikan garis kasar tentang konsep-konsep atau prinsip-prinsip yang mesti dipatuhi oleh umat Islam di dalam melaksanakan sesuatu sistem pentadbiran. Prinsip-prinsip tersebut ialah :

i.              Kepatuhan Kepada Allah Dan RasulNya.

Asas pentadbiran Islam ialah keimanan dan tunduk kepada peraturan Allah s.w.t. seperti mana firmanNya;

Terjemahan: Katakanlah (wahai Muhammad): "Taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Oleh itu, jika kamu berpaling (menderhaka), maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang kafir. (al-Imran, 3 : 32).

Ayat tersebut menjelaskan bahawa segala perkerjaan yang dilaksanakan oleh umat Islam samada yang memimpin atau yang dipimpin hendaklah didasarkan kepada perintah al-Quran dan al-Sunnah.

Menerusi konsep ini akan lahir pentadbir, pengurus, pekerja dan masyarakat yang melaksanakan tugas-tugas mereka kerana Allah semata-mata tanpa mengharapkan apa-apa kepentingan duniawi sejajar dengan firman Allah ta’ala yang bermaksud :

Terjemahan: Dan tidak diperintahkan melainkan supaya beribadat kepada Allah dengan penuh keikhlasan. (al-Bayyinah, 98 : 5).

ii.            Syura (Permusyuaratan).

Syura merupakan suatu proses perbincangan, perundingan atau permusyuaratan bagi mencapai permuafakatan dan persetujuan dalam membuat sesuatu keputusan mengenai sesuatu polisi dan agenda tindakkan. Sistem syura ini bertujuan untuk mendapatkan suatu keputusan yang terbaik hasil daripada pandangan dan pendapat daripada pelbagai pihak. Sesungguhnya Allah ta’ala telah memerintahkan hal ini di dalam firmanNya;

Terjemahan: Dan urusan mereka hendaklah diputuskan dengan bermusyuarat sesama mereka. (Syura, 42 : 38).


Terjemahan: Dan bermusyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu. (al-Imran, 3: 159).

iii.           Persamaan (al-musawah).

Persamaan yang dimaksudkan dalam konteks pentadbiran dan pengurusan adalah mengenai kedudukan setiap pentadbir atau pengurus di sisi undang-undang atau peraturan, dalam hak-hak asasi, pada taraf dan status kemanusiaan adalah sama berdasarkan kepada firman Allah ta’ala;

Terjemahan: Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat. (al-Hujurat, 49 : 10)

Dan juga firmaNya yang lain;

Terjemahan: Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). (al-Hujurat, 49 : 13).

iv.           Keadilan.

Perintah supaya menegakkan keadilan dalam masyarakat terkandung dalam beberapa pengertian ayat al-Quran seperti firmanNya;

Terjemahan: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat. (al-Nisa’, 4 : 58).

Seterusnya firman Allah yang lain;

Terjemahan: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu berlaku adil dan berbuat kebajikan. (al-Nahl, 16 : 90).

v.            Kebebasan.

Kebebasan yang dimaksudkan ialah seseorang individu itu diberi hak, peluang dan pilihan untuk beragama sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Allah ta’ala di dalam firmanNya;

Terjemahan: Tiada paksaan dalam beragama (memeluk agama Islam). (al-Baqarah, 2 : 256).

Seterusnya setiap individu itu diberi hak kebebasan untuk berfikir dan menyatakan pendapat masing-masing berdasarkan kepada firman Allah ta’ala;

Terjemahan: Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya. (al-Imran, 3 : 104).

Selain daripada itu individu-individu masyarakat juga diberi kebebasan untuk memiliki dan mengumpul harta kekayaan melalui kaedah yang dibenarkan oleh Islam sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Allah ta’ala menerusi firmanNya;

Terjemahan: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu. (al-Nisa’, 4 : 29).

Berdasarkan kepada ayat-ayat tersebut di atas kebebasan yang dimaksudkan ialah seseorang individu masyarakat diberi hak, peluang dan pilihan untuk beragama, berfikir, bersuara, memiliki harta, menuntut ilmu, bergerak dan sebagainya mengikut batas-batas undang-undang yang telah ditetapkan.

2.2   Ciri-Ciri Utama Pegawai.

Selain daripada prinsip-prinsip dasar ini Islam juga telah menggariskan beberapa keriteria-keriteria dasar yang perlu dimiliki oleh orang-orang yang bertanggung jawab untuk mentadbir dan mengurus. Kriteria-kriteria tersebut ialah:

i.              Berilmu Pengetahuan.

Seorang pengurus hendaklah mempunyai ilmu pengurusan. Jawatankuasa masjid mesti mempunyai ilmu pengurusan jika inginkan masjid terurus dengan baik. Sesungguhnya tidak sama masjid yang diuruskan oleh mereka yang kurang berpengetahuan dengan yang mempunyai pengetahuan pengurusan. Hal ini dapat diambil iktibar berdasarkan firman Allah s.w.t.;

Terjemahan: Katakanlah, “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui ?”. (al-Zumar, 39 : 9).

 Dan firman Allah ta’ala lagi di dalam menjelaskan ketinggian kedudukan orang yang berilmu berbanding dengan yang lain;

Terjemahan: ....Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan ugama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan. (al-Mujadilah, 58 : 11).

Oleh itu menurut pandangan Dr. Sidi Gazalba orang yang paling berhak untuk menjadi imam (pemimpin) itu adalah yang paling mendalam ilmu pengetahuannya dan memiliki sifat-sifat yang terbaik. (Sidi Gazalba, 1975 : 178).

ii.            Amanah.

Amanah adalah sifat yang penting menjamin pengurusan masjid berjalan dengan baik. Tanpa amanah institusi masjid tidak akan mencapai objektif seperti yang dikehendaki dalam Islam. Firman Allah s.w.t.;

Terjemahan: Wahai orang-orang yang beriman janganlah kamu mengkhianati Allah dan rasulnya dan janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah yang diberi kepercayaan kepada kamu, sedang kamu mengetahui. (al-Anfal, 8 : 27).

Sebuah hadith yang telah diriwayatkan daripada Anas bin Malik (r.a) bahawasanya Rasulullah (SAW) telah bersabda :

Terjemahan: Tidak ada iman bagi seseorang yang tidak amanah. (Imam Ahmad, 1994, jil. 4 : 501).

            Sebuah hadith yang telah diriwayatkan dari Ma’qil bin Yasar al-Muzani menyebut;

Terjemahan: Hadis Ma'qil bin Yasar r.a: Diriwayatkan daripada Hasan r.a katanya: Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang ditaklifkan oleh Allah untuk memimpin rakyatnya lalu mati dalam keadaan menipu rakyat, nescaya Allah mengharamkan ke atasnya Syurga. (Muslim, 1994, jil. 3 : 545)

iii.           Adil.

Selain memiliki sifat amanah, setiap orang yang dilantik untuk menerajui negara atau mana-mana organisasi mestilah mampu bersikap adil. Sesungguhnya Allah ta’ala telah menegaskan tentang kepentingan sikap ini di dalam beberapa firmanNya di antaranya;

Terjemahan: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya menetapkannya dengan adil. (al-Nisa’, 4 : 58).

Seterusnya firman Allah s.w.t. yang lain;

Sesungguhnya Allah menyuruh kamu berlaku adil dan berbuat kebajikan. (al-Nahl, 16 : 90).

Firman Allah ta’ala lagi;

Terjemahan: Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu menjadi orang-orang yang selalu menegakkan kebenaran kerana Allah, menjadi saksi yang dengan adil, dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah itu lebih dekat kepada takwa”. (al-Maidah, 5 : 8).

iv.           Berkebolehan.

Seterusnya seseorang yang ingin dilantik sebagai peneraju atau anggota sesebuah organisasi itu mestilah terdiri daripada mereka yang berkebolehan (berpengetahuan) dalam bidang tersebut bagi menjamin tugas dan tanggung jawab yang diamanahkan dapat dilaksanakan dengan baik.

v.            Berakhlak Mulia.

Berakhlak mulia merupakan di antara keriteria-keriteria yang harus dimiliki oleh mana-mana pemimpin atau anggota organisasi untuk menarik minat masyarakat setempat khasnya dan umum seterusnya dapat memelihara keharmonia dan keutuhan sesebuah organisasi. Dalam hal ini Allah ta’ala telah menjelaskan menerusi fimanNya;

Terjemahan: Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. (Surah al-Imran, 3 : 159).

vi.           Pembimbing Masyarakat.

Selain daripada itu para pemimimpin atau anggota mana-mana organisasi mestilah berperanan sebagai pendidik dan pembimbing kepada masyarakat sekitar ke arah kebaikkan hidup di dunia dan akhirat. Ma’qil bin Yasar telah meriwayatkan sebagai berikut :

Terjemahan: Aku pernah mendengar Rasulullah (SAW) bersabda: “Setiap pemimpin yang menguasai urusan kaum muslimin, namun dia tidak mahu memberikan nasihat dan tidak mahu pula berkerja keras atau bersusah payah untuk meraka, maka dia tidak layak untuk masuk syurga bersama mereka”. (Muslim, 1994, jil .3 : 545).

2.3   Tugas Dan Tanggungjawab Ahli Jawatankuasa.

Keutuhan, keharmonian dan kejayaan sesebuah organisasi tidak akan tercapai sepenuhnya sekiranya tidak mendapat kerjasama yang secukupnya dari ahli jawatan kuasa sesebuah organisasi dan masyarakat sekeliling. Menyedari akan kepentingan hal ini Rasulullah (SAW) telah menjelaskan di dalam sabdanya diriwayatkan daripada Ibn Umar (r.a)

Terjemahan: Sesungguhnya beliau (SAW) telah bersabda : “Kewajipan seorang muslim untuk mendengar dan dan taat terhadap apa yang disukai mahupun yang tidak disukai, kecuali kalau dia diperintah melakukan maksiat. Apabila dia diperintah melakukan maksiat, maka tidak ada alasan sama sekali untuk patuh dan taat“. (Muslim, 1994, jil. 3 : 560).

2.4   Kesimpulan.

Kesimpulannya segala urusan pentadbiran dan pengurusan adalah terletak pada diri umat Islam sendiri untuk memilih atau menentukan sistem pentadbiran yang difikirkan perlu dan bersesuaian dengan keadaan dan semasa, di samping itu umat Islam perlu mematuhi segala prinsip-prinsip pentadbiran dan pengurusan yang telah ditetapkan oleh Allah dan RasulNya. Umat Islam juga dituntut supaya memilih dan melantik sesiapa yang memiliki ciri-ciri kepegawaian yang telah digariskan oleh Islam. Selain daripada itu segala kerjasama dari semua pihak adalah amat diharapkan dalam memastikan segala objektif yang diharapkan tercapai.

Pengurusan Kebersihan.


Memelihara kebersihan sama ada dari aspek material mahupun spiritual merupakan suatu perkara yang dituntut oleh Islam terhadap para pengganutnya. Rasulullah (SAW) telah menegaskan bahawa kebersihan itu merupakan di antara elemen-elemen pelengkap kepada kesempurnaan keimanan seseorang, hal ini dijelaskan oleh Baginda (SAW) menerusi hadith yang telah diriwayat oleh Abu Malik al-Asy’ari sebagai berikut :

Terjemahan: Rasulullah (SAW) telah bersabda, “Kebersihan itu setengah (sebahagian) daripada iman.” (Muslim, 1994, jil.1 : 324).

3.1   Tuntuan Supaya Memelihara Kebersihan Masjid.

Suasana persekitaran yang bersih bagi sesuatu tempat memberi ketenteraman dan ketenangan kepada para pengunjungnya untuk melakukan segala bentuk aktiviti dan sebagainya, menyedari hakikat ini Rasulullah (SAW) telah memerintahkan umat Islam supaya sentiasa memelihara kebersihan masjid berdasarkan kepada hadith yang telah diriwayatkan oleh Aishah (r.a):

Terjemahan: Nabi (SAW) telah memerintahkan supaya didirikan masjid-masjid pada kabilah-kabilah dan hendaklah masjid itu dibersihkan dan diberi wangi-wangian”. (al-Tarmizi, 1993, jil. 1 : 722).

3.2   Tuntutan Membersihkan Masjid Dari Kekotoran.

Telah menjadi tanggung jawab ke atas umat Islam supaya membersihkan segala kekotoran yang terdapat di masjid walaupun kekotoran yang bukan najis, berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik (r.a);

Terjemahan: Nabi (SAW) telah bersabda, meludah dalam masjid adalah merupakan satu kesalahan dan dendanya ialah menimbusnya (membersihkannya)”. (al-Bukhari , jil. 2 : 47)

Lebih-lebih lagi kekotoran yang berbentuk najis sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Anas bin Malik (r.a) berhubung dengan pengurusan yang dilaku Rasulullah (SAW) dalam memastikan masjid sentiasa berada dalam keadaan bersih;

Terjemahan: Daripada Anas bin Malik telah berkata : “Ketika kami sedang berada di masjid bersama-sama Rasulullah (SAW) tiba-tiba datang seorang Arab Badwi, ia berdiri lalu kencing di dalam masjid, maka para sahabat Rasulullah berkata : “Jangan, jangan”. Rasulullah (SAW) telah bersabda : “Jangan kamu hentikan dia, biarkan sahaja”. Para sahabat membiarkannya sampai ia selelsai, kemudian Rasulullah (SAW) memanggilnya lalu bersabda kepadanya (Arab Badwi): “Sesungguhnya masjid-masjid itu tidak patut untuk kencing atau kotoran lainnya. Ia hanya untuk berzikir kepada Allah Azza Wa Jalla, sembahyang dan membaca al-Quran” atau sebagaimana yang telah disabdakan oleh Rasulullah (SAW).Anas berkata : “Kemudian Rasulullah (SAW) memerintahkan salah seorang di antara mereka agar mengambilkan air, orang itu datang dengan membawa setimba air, lalu beliau (SAW)menjiruskannya pada air kencing tadi”. (Muslim, 1994, jil. 1 : 386).

3.3   Tuntutan Menghindarkan Bau Busuk Dari Masjid.

Selain daripada memelihara kebersihan masjid dari segala bentuk kekotoran umat Islam juga dituntut supaya memastikan masjid terhindar dari bau-bauan yang kurang menyenangkan. Berdasarkan kepada hadith yang telah diriwayatkan oleh Ibn Umar (r.a) telah menjelaskan bahawa Nabi Muhammad (SAW) melarang orang-orang yang memakan bawang putih dari hadir ke masjid kerana ia mendatangkan bau yang kurang menyenangkan terhadap orang lain.

Terjemahan: Daripada Ibn Umar (r.a) bahawa Rasulullah (SAW) telah bersabda dalam peperangan Khibar : “Barang siapa yang memakan tumbuh-tumbuhan ini (dimaksudkannya bawang putih) maka janganlah datang ke masjid”. (Muslim, 1994, jil. 1 : 667).

2.4   Anjuran Supaya Menyegarkan Udara Masjid.

Sesungguhnya umat Islam bukan sekadar dituntut supaya menghindarkan bau-bauan yang kurang menyenangkan di kawasan persekitaran masjid, sebaliknya mereka juga disarankan agar mengharumkan serta menyegarkan udara masjid sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Rasulullah (SAW) menerusi hadith yang telah diriwayatkan oleh Aishah (r.a)

Terjemahan: Nabi (SAW) telah memerintahkan supaya didirikan masjid-masjid pada kabilah-kabilah dan hendaklah masjid itu dibersihkan dan diberi wangi-wangian”. (al-Tarmizi, 1993, jil. 1 : 722).

2.5   Galakkan Supaya Mengindahkan Masjid.

Suasana indah, menarik, kemas dan teratur pada sesebuah tempat menjadi daya penarik kepada masyarakat untuk mengunjunginya. Oleh itu usaha-usaha untuk memperindahkan serta memperkemaskan masjid harus dilaksanakan kerana ia bersesuaian dengan kehendak Islam berdasarkan kepada hadith yang telah diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas’ud (r.a) daripada Nabi Muhammad (SAW);

Terjemahan: Sesungguhnya Allah itu indah (cantik)suka kepada keindahan”. (Muslim, 1994, jil. 1 : 95).

Dan firman Allah yang bermaksud :

Terjemahan: Katakanlah: “Siapakah yang melarang (memakai) perhiasan Allah dan (memakan) rezeki yang baik yang diadakan untuk hamba-hambaNya”. (al-A’araf, 7 : 32).

2.6   Kesimpulan.

Tugas membersihkan masjid dari segala kekotoran, mengindahkan serta memperkemaskannya adalah merupakan suatu tugas yang mulia di sisi Islam. Sesungguhnya Rasulullah (SAW) telah memberikan suatu kedudukan yang istimewa terhadap orang-orang yang sentiasa berusaha untuk memastikan keadaan masjid dan kawasan persekitarannya sentiasa berada di dalam keadaan bersih, kemas dan teratur. Abu Hurairah (r.a) telah menjelaskan tentang kedudukan yang diperolehi oleh golongan ini sebagai berikut :

Terjemahan: Bahawa seorang lelaki atau perempuan hitam menyapu di dalam masjid kemudian ia meninggal dunia, maka Nabi (SAW) bertanya mengenainya. Para sahabat menjawab bahawa ia telah meninggal dunia, Bgainda (SAW) bersabda : “Kenapa kamu tidak memberitahu kepadaku, tunjukkan kepadaku kuburnya” (lelaki/perempuan) maka baginda ke kuburnya lalu bersembahyang. (al-Bukhari, jil. 2 : 77).

Begitu juga dengan hadith yang telah diriwayatkan oleh Anas bin Malik (r.a) berhubung hal ini seperti berikut :

Rasulullah (SAW) telah bersabda : “Telah diperlihatkan bagiku pahala umatku sampai pahala seseorang yang membuang kekotoran dari masjid”. (Abu Daud, 1992, jil. 1 : 307).

Pengurusan Waktu


Waktu merupakan sesuatu yang amat bernilai pada diri manusia sehingga ia diibaratkan sebagai emas oleh sesetengah manusia. Perbicaraan dalam bahagian ini akan menyentuh bagaimanakah Islam mengajarkan umatnya memanfaatkan waktu ke arah kebaikkan hidup di dunia dan akhirat. Sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Allah ta’ala di dalam firmanNya yang bermaksud :


Terjemahan: Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada di dalam kerugian, melainkan mereka-mereka yang beriman dan beramal salih serta berpesan-pesan pada kebenaran dan kesabaran. (Al-‘Asr, 103 : 1-3).

4.1   Pengurusan Waktu Sembahyang.

Sembahyang merupakan ibadat yang paling penting sekali di dalam Islam sehingga ia diumpamakan sebagai tiang agama oleh Rasulullah (SAW). Agama Islam telah mengarahkan umatnya agar memelihara waktu–waktu sembahyang ini demi kebaikkan hidup mereka di dunia dan akhirat.

i.              Ketetapan Waktu Sembahyang.

Allah s.w.t. telah menetapkan waktu-waktu solat yang tertentu bagi kaum muslim menerusi firmaNya;

Terjemahan: Sesungguhnya sembahyang itu adalah fardhu yang telah ditentukan waktunya atas orang-orang yang beriman. (al-Nisa’, 4 : 103).

Rasulullah (SAW) telah memberi penjelasan secara terperinci terhadap waktu-waktu sembahyang yang wajib dipatuhi oleh setiap umat Islam melalui amal perbuatannya sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah;

Terjemahan: Bahawa Rasulullah (SAW) mengerjakan sembahyang zohor di tengah hari (selepas gelincirnya matahari), sembahyang asar semasa matahari masih cerah, sembahyang maghrib apabila mathari terbenam, sembahyang isyak apabila orang ramai telah berkumpul, maka baginda menyegerakannya dan apabila mereka itu sedikit, maka Baginda (SAW) melambatkannya, dan sembahyang subuh pula apabila masih gelap lagi. (al-Bukhari, jil. 2 : 142).

Menjadi kewajipan ke atas umat Islam untuk memelihara waktu-waktu sembahyang yang telah ditetapkan oleh Allah dan RasulNya.

ii.            Tuntutan Memelihara Waktu Sembahyang.
Penekanan terhadap umat Islam supaya memelihara waktu sembahyang lima waktu terutamanya sembahyang fardhu asar telah pun ditegaskan oleh Allah ta’ala di dalam firmaNya yang bermaksud :

Terjemahan: Peliharalah semua sembahyang (mu) dan peliharalah sembahyang wustha (asar). Berdirilah untuk Allah dalam sembahyang kamu dengan khusyu’. (al-Baqarah, 2 : 238).

Menerusi hadith qudsi yang telah diriwayatkan oleh Abu Qatadah bin Rabi’, Rasulullah (SAW) telah menjelaskan bahawa Allah ta’ala telah menjanjikan kepada sesiapa daripada umat Islam yang memelihara waktu sembahyang lima waktu untuk menduduki syurga.

Terjemahan: Daripada Abu Qatadah bin Rabi’ (r.a) telah berkata : Rasulullah (SAW) telah bersabda : “Allah Ta’ala telah berfirman : “Sesungguhnya Aku telah memfardhukan atas umatmu lima kali sembahyang Aku telah mengikat janji iaitu barangsiapa memeliharanya tepat pada waktunya, Aku akan masukkan dia ke syurga, dan barangsiapa tidak memeliharanya, maka tidak ada ikatan bagiku dengannya”. (Abu Daud, 1992, jil. 1 : 228).

4.2   Pengurusan waktu Pembelajaran.

Kewajipan menuntut ilmu pengetahuan telah pun dijelaskan oleh Baginda (SAW) di dalam hadithnya;

Terjamehan: Menuntut ilmu adalah wajib ke atas setiap muslim. (Sunan Ibn Majah, al Muqaddimah : 220)

Kedudukan golongan yang berilmu adalah lebih tinggi dan mulia dari golongan yang tidak berpengetahuan berdasarkan kepada firman Allah ta’ala;

Terjemahan: ...Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan ugama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan.. (al-Mujadilah, 58 : 11).

Oleh itu umat Islam disarankan agar memanfaatkan waktu terluang untuk mendapatkan ilmu pengetahuan.

i.              Kelonggaran Menentukan Waktu Pembelajaran.

Islam tidak pernah menetapkan suatu waktu yang tertentu ke atas umat Islam supaya mematuhinya untuk mendapatkan ilmu pengetahuan, sebaliknya satu kelonggaran telah diberikan kepada umat Islam untuk menentukan waktu yang difikirkan sesuai untuk mereka menimba ilmu pengetahuan.

Terjemahan: Ibn Mas’ud (r.a) telah menjelaskan sikap Rasulullah (SAW) berhubung masalah pengurusan waktu pembelajaran seperti berikut : “Adalah Nabi (SAW) selalu mencari waktu-waktu yang sesuai untuk memberikan pelajaran dan ilmu pengetahuan supaya kami tidak merasa jemu dan bosan”. (al-Bukhari, jil. 1 : 79).

Ini adalah bertujuan untuk mengelakkan rasa jemu dan bosan terhadap diri umat Islam di dalam mencari serta mendapatkan ilmu pengetahuan.

Terjemahan: Dari Mansur, dari Abu Wail telah berkata : “Adalah Abdullah memberi pengajaran kepada manusia pada tiap-tiap hari khamis, maka berkata seorang lelaki : “Wahai Abu Abd Rahman, demi Allah aku sangat gembira sekiranya engkau dapat memberi pengajaran kepada kami tiap-tiap hari”. Jawabnya : "Tidak ada halangan bagiku dari hal tersebut, cuma aku tidak suka ianya akan membebankan kamu, sesungguhnya akau mencari waktu yang baik untuk memberi pengajaran, sebagaimana pernah Nabi (SAW) mencari waktu yang baik (sesuai)untuk memberi pengajaran kerana takut kami akan ditimpa perasaan jemu dan bosan”. (al-Bukhari, jil. 1 : 80).

ii.            Menentukan Hari khusus Bagi Wanita Menutut Ilmu

Sesungguhnya Agama Islam tidak pernah mengabaikan hak dan keistimewaan bagi kaum wanita untuk mendapatkan ilmu pengetahuan. Rasulullah (SAW) telah bersetuju memperuntukan suatu hari yang khusus bagi kaum wanita mendapatkan ilmu pengetahuan apabila diminta berbuat demikian.

Terjemahan: Daripada Abu Sa’id al-Khudri bahawa kaum wanita telah berkata kepada Rasulullah (SAW) : “Orang lelaki telah mengatasi kami dengan engkau, maka tentukanlah bagi kami suatu hari (untuk menuntut ilmu)”.Rasullulah (SAW) telah menjanjikan mereka suatu hari untuk menemui mereka pada hari tersebut untuk memberi nasihat dan arahan-arahan”. (al-Bukhari, jil. 1 : 109).

4.3   Kesimpulan.

Umat Islam diarahkan supaya memelihara waktu-waktu sembahyang fardhu yang telah ditetapkan oleh Allah dan Rasulnya, manakala berhubung dengan waktu memberi atau mendapatkan ilmu pengetahuan adalah terserah kepada umat Islam untuk menentukan waktu yang difikirkan bersesuaian. Nasib kaum wanita untuk mendapatkan ilmu pengetahuan juga tidak boleh diabaikan dan menjadi suatu kewajipan ke atas pihak yang bertanggung jawab agar memperuntukkan suatu hari yang khusus bagi kaum wanita mendapatkan ilmu pengetahuan.