Pengurusan masjid bererti pentadbiran yang baik berdasarkan
kepda peraturan tertentu dan tidak melanggar peraturan yang sedia ada
termasuklah pentadbiran, kemudahan asas, kewangan, kepegawaian, keselamatan,
pendidikan dan keceriaan masjid berpandukan kepada al-Quran dan al-Hadith
Rasulullah (SAW).
Masjid perlu kepada pengurusan yang baik dan cekap yang amat
bergantung kepada kebolehan jawatan kuasa masjid berperanan. Zaman Rasulullah
SAW dahulu masjid diurus sendiri oleh baginda sejak daripada pembinaannya
hinggalah kepada pengimarahannya. Walaupun tidak ada secara berstruktur seperti
hari ini namun begitu pengurusannya amat baik sehingga pada setiap waktu masjid
nabi ini diimarahkan ribuan manusia sehinggalah ke hari ini. Tidak seperti
masjid-masjid lain yang kedapatan ahli jamaahnya tidak sampai satu saf.
Terdapat juga di beberapa buah masjid di Malaysia ini memang
mendapat sambutan baik dalam kalangan masyarakat. Setiap kali waktu solat kita
akan dapati berpusu-pusu jamaah datang mengambil bahagian. Apabila kita
meneliti terdapat beberapa kelebihan yang disediakan seperti kelas-kelas
pengajian, bantuan kebajikan kepada masyarakat setempat, kemudahan komputer,
kemudahan internet, bimbingan ustaz dan sebagainya yang boleh menarik anak
kariah untuk hadir. Ini merupakan betapa pentingnya pengurusan masjid
ditingkatkan.
Semua pihak perlu memberi sokongan dalam memajukan aktiviti
masjid. Jika ada masalah yang timbul maka segera diselesaikan. Anak-anak muda
remaja diberi peluang untuk mengimarahkan masjid dengan diberi tugas tertentu
dan mengadakan lawatan-lawatan sambil belajar kepada mereka. Dengan ini akan
bertambah minat mereka untuk mendampingi masjid.
Sukan juga diperkenalkan di beberapa masjid. Ini suatu
pemikiran yang baik untuk mendekatkan golongan muda mudi dengan masjid. Sukan
yang berbentuk indoor atau outdoor dapat merangsang minat mereka kepada masjid.
Semua ini perlu kepada pengurusan yang cekap dan baik.
Umat Islam dituntut supaya sentiasa bergerak dan berkerja
dalam bentuk berjamaah. Oleh itu suatu penubuhan organisasi untuk menguruskan
dan memelihara hal ehwal umat Islam adalah menjadi suatu kewajipan ke atas umat
Islam tidak kira di mana juga mereka berada berdasarkan kepada sabda Nabi
Muhammad (SAW) yang telah diriwayatkan daripada Abu Sa’id al-Khudri (r.a) yang
bermaksud :
Terjemahan: Bahawasanya Rasulullah (SAW) telah bersabda :
“Apabila tiga orang keluar rumah untuk suatu perjalanan, maka hendaklah salah
seorang di antara mereka dilantik sebagai ketua rombongan yang mengurusi hal
mereka”. (Abu Daud, 1992, jil . 3 : 350).
Kepentingan wujudnya sesebuah organisasi berdasarkan kepada
hadith tersebut di atas adalah bertujuan untuk menyatupadukan segala usaha dan
tindakkan seterusnya memberi kekuatan dan kejayaan kepada umat Islam. Dan
organisasi ini mestilah ditadbir dan diuruskan berdasarkan kepada
prinsip-prinsip pengurusan yang telah ditetapkan oleh Allah dan RasulNya.
2.1Asas Pengurusan
Dan Pentadbiran Islam.
Tidak terdapat sebarang nas daripada al-Quran mahupun
al-Hadith yang menjelaskan tentang suatu sistem pentadbiran yang mesti dipatuhi
oleh umat Islam, sebaliknya Islam telah menggalakkan umat Islam mewujudkan
sebuah organisasi untuk mentadbir dan mengurus segala urusan mereka serta
memberikan garis kasar tentang konsep-konsep atau prinsip-prinsip yang mesti
dipatuhi oleh umat Islam di dalam melaksanakan sesuatu sistem pentadbiran.
Prinsip-prinsip tersebut ialah :
i.Kepatuhan Kepada Allah Dan RasulNya.
Asas pentadbiran Islam ialah keimanan dan tunduk kepada
peraturan Allah s.w.t. seperti mana firmanNya;
Terjemahan: Katakanlah (wahai Muhammad): "Taatlah kamu
kepada Allah dan RasulNya. Oleh itu, jika kamu berpaling (menderhaka), maka
sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang kafir. (al-Imran, 3 :
32).
Ayat tersebut menjelaskan bahawa segala perkerjaan yang
dilaksanakan oleh umat Islam samada yang memimpin atau yang dipimpin hendaklah
didasarkan kepada perintah al-Quran dan al-Sunnah.
Menerusi konsep ini akan lahir pentadbir, pengurus, pekerja
dan masyarakat yang melaksanakan tugas-tugas mereka kerana Allah semata-mata
tanpa mengharapkan apa-apa kepentingan duniawi sejajar dengan firman Allah
ta’ala yang bermaksud :
Terjemahan: Dan tidak diperintahkan melainkan supaya
beribadat kepada Allah dengan penuh keikhlasan. (al-Bayyinah, 98 : 5).
ii.Syura (Permusyuaratan).
Syura merupakan suatu proses perbincangan, perundingan atau
permusyuaratan bagi mencapai permuafakatan dan persetujuan dalam membuat
sesuatu keputusan mengenai sesuatu polisi dan agenda tindakkan. Sistem syura
ini bertujuan untuk mendapatkan suatu keputusan yang terbaik hasil daripada
pandangan dan pendapat daripada pelbagai pihak. Sesungguhnya Allah ta’ala telah
memerintahkan hal ini di dalam firmanNya;
Terjemahan: Dan urusan mereka hendaklah diputuskan dengan
bermusyuarat sesama mereka. (Syura, 42 : 38).
Terjemahan: Dan bermusyuaratlah dengan mereka dalam urusan
itu. (al-Imran, 3: 159).
iii.Persamaan (al-musawah).
Persamaan yang dimaksudkan dalam konteks pentadbiran dan
pengurusan adalah mengenai kedudukan setiap pentadbir atau pengurus di sisi
undang-undang atau peraturan, dalam hak-hak asasi, pada taraf dan status
kemanusiaan adalah sama berdasarkan kepada firman Allah ta’ala;
Terjemahan: Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah
bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah)
itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat. (al-Hujurat, 49 :
10)
Dan juga firmaNya yang lain;
Terjemahan: Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah
menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu
berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah
mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi
Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih
keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha
Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). (al-Hujurat, 49 : 13).
iv.Keadilan.
Perintah supaya menegakkan keadilan dalam masyarakat
terkandung dalam beberapa pengertian ayat al-Quran seperti firmanNya;
Terjemahan: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya
menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan
apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu
menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi
pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa
Mendengar, lagi sentiasa Melihat. (al-Nisa’, 4 : 58).
Seterusnya firman Allah yang lain;
Terjemahan: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu berlaku adil
dan berbuat kebajikan. (al-Nahl, 16 : 90).
v.Kebebasan.
Kebebasan yang dimaksudkan ialah seseorang individu itu
diberi hak, peluang dan pilihan untuk beragama sebagaimana yang telah
dijelaskan oleh Allah ta’ala di dalam firmanNya;
Terjemahan: Tiada paksaan dalam beragama (memeluk agama
Islam). (al-Baqarah, 2 : 256).
Seterusnya setiap individu itu diberi hak kebebasan untuk
berfikir dan menyatakan pendapat masing-masing berdasarkan kepada firman Allah
ta’ala;
Terjemahan: Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang
menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh
berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah
(buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang
berjaya. (al-Imran, 3 : 104).
Selain daripada itu individu-individu masyarakat juga diberi
kebebasan untuk memiliki dan mengumpul harta kekayaan melalui kaedah yang
dibenarkan oleh Islam sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Allah ta’ala
menerusi firmanNya;
Terjemahan: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu
makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu,
judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara
suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama
sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu. (al-Nisa’, 4 : 29).
Berdasarkan kepada ayat-ayat tersebut di atas kebebasan yang
dimaksudkan ialah seseorang individu masyarakat diberi hak, peluang dan pilihan
untuk beragama, berfikir, bersuara, memiliki harta, menuntut ilmu, bergerak dan
sebagainya mengikut batas-batas undang-undang yang telah ditetapkan.
2.2Ciri-Ciri Utama
Pegawai.
Selain daripada prinsip-prinsip dasar ini Islam juga telah
menggariskan beberapa keriteria-keriteria dasar yang perlu dimiliki oleh
orang-orang yang bertanggung jawab untuk mentadbir dan mengurus.
Kriteria-kriteria tersebut ialah:
i.Berilmu Pengetahuan.
Seorang pengurus hendaklah mempunyai ilmu pengurusan.
Jawatankuasa masjid mesti mempunyai ilmu pengurusan jika inginkan masjid
terurus dengan baik. Sesungguhnya tidak sama masjid yang diuruskan oleh mereka
yang kurang berpengetahuan dengan yang mempunyai pengetahuan pengurusan. Hal
ini dapat diambil iktibar berdasarkan firman Allah s.w.t.;
Terjemahan: Katakanlah, “Adakah sama orang-orang yang
mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui ?”. (al-Zumar, 39 : 9).
Dan firman Allah
ta’ala lagi di dalam menjelaskan ketinggian kedudukan orang yang berilmu
berbanding dengan yang lain;
Terjemahan: ....Allah meninggikan darjat orang-orang yang
beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan ugama
(dari kalangan kamu) - beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam
PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan. (al-Mujadilah, 58 : 11).
Oleh itu menurut pandangan Dr. Sidi Gazalba orang yang
paling berhak untuk menjadi imam (pemimpin) itu adalah yang paling mendalam
ilmu pengetahuannya dan memiliki sifat-sifat yang terbaik. (Sidi Gazalba, 1975
: 178).
ii.Amanah.
Amanah adalah sifat yang penting menjamin pengurusan masjid
berjalan dengan baik. Tanpa amanah institusi masjid tidak akan mencapai
objektif seperti yang dikehendaki dalam Islam. Firman Allah s.w.t.;
Terjemahan: Wahai orang-orang yang beriman janganlah kamu
mengkhianati Allah dan rasulnya dan janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah
yang diberi kepercayaan kepada kamu, sedang kamu mengetahui. (al-Anfal, 8 :
27).
Sebuah hadith yang telah diriwayatkan daripada Anas bin
Malik (r.a) bahawasanya Rasulullah (SAW) telah bersabda :
Terjemahan: Tidak ada iman bagi seseorang yang tidak amanah.
(Imam Ahmad, 1994, jil. 4 : 501).
Sebuah
hadith yang telah diriwayatkan dari Ma’qil bin Yasar al-Muzani menyebut;
Terjemahan: Hadis Ma'qil bin Yasar r.a: Diriwayatkan
daripada Hasan r.a katanya: Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:
Sesiapa yang ditaklifkan oleh Allah untuk memimpin rakyatnya lalu mati dalam keadaan
menipu rakyat, nescaya Allah mengharamkan ke atasnya Syurga. (Muslim, 1994,
jil. 3 : 545)
iii.Adil.
Selain memiliki sifat amanah, setiap orang yang dilantik
untuk menerajui negara atau mana-mana organisasi mestilah mampu bersikap adil.
Sesungguhnya Allah ta’ala telah menegaskan tentang kepentingan sikap ini di
dalam beberapa firmanNya di antaranya;
Terjemahan: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan
amanah kepada yang berhak menerimanya dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan
hukum di antara manusia supaya menetapkannya dengan adil. (al-Nisa’, 4 : 58).
Seterusnya firman Allah s.w.t. yang lain;
Sesungguhnya Allah menyuruh kamu berlaku adil dan berbuat
kebajikan. (al-Nahl, 16 : 90).
Firman Allah ta’ala lagi;
Terjemahan: Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu
menjadi orang-orang yang selalu menegakkan kebenaran kerana Allah, menjadi saksi
yang dengan adil, dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum
mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah itu lebih dekat kepada
takwa”. (al-Maidah, 5 : 8).
iv.Berkebolehan.
Seterusnya seseorang yang ingin dilantik sebagai peneraju
atau anggota sesebuah organisasi itu mestilah terdiri daripada mereka yang
berkebolehan (berpengetahuan) dalam bidang tersebut bagi menjamin tugas dan
tanggung jawab yang diamanahkan dapat dilaksanakan dengan baik.
v.Berakhlak
Mulia.
Berakhlak mulia merupakan di antara keriteria-keriteria yang
harus dimiliki oleh mana-mana pemimpin atau anggota organisasi untuk menarik
minat masyarakat setempat khasnya dan umum seterusnya dapat memelihara
keharmonia dan keutuhan sesebuah organisasi. Dalam hal ini Allah ta’ala telah
menjelaskan menerusi fimanNya;
Terjemahan: Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah)
dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada
mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar
lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah
mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah
ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan
(peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. (Surah al-Imran, 3 : 159).
vi.Pembimbing Masyarakat.
Selain daripada itu para pemimimpin atau anggota mana-mana
organisasi mestilah berperanan sebagai pendidik dan pembimbing kepada
masyarakat sekitar ke arah kebaikkan hidup di dunia dan akhirat. Ma’qil bin
Yasar telah meriwayatkan sebagai berikut :
Terjemahan: Aku pernah mendengar Rasulullah (SAW) bersabda:
“Setiap pemimpin yang menguasai urusan kaum muslimin, namun dia tidak mahu
memberikan nasihat dan tidak mahu pula berkerja keras atau bersusah payah untuk
meraka, maka dia tidak layak untuk masuk syurga bersama mereka”. (Muslim, 1994,
jil .3 : 545).
2.3Tugas Dan
Tanggungjawab Ahli Jawatankuasa.
Keutuhan, keharmonian dan kejayaan sesebuah organisasi tidak
akan tercapai sepenuhnya sekiranya tidak mendapat kerjasama yang secukupnya
dari ahli jawatan kuasa sesebuah organisasi dan masyarakat sekeliling.
Menyedari akan kepentingan hal ini Rasulullah (SAW) telah menjelaskan di dalam
sabdanya diriwayatkan daripada Ibn Umar (r.a)
Terjemahan: Sesungguhnya beliau (SAW) telah bersabda :
“Kewajipan seorang muslim untuk mendengar dan dan taat terhadap apa yang
disukai mahupun yang tidak disukai, kecuali kalau dia diperintah melakukan
maksiat. Apabila dia diperintah melakukan maksiat, maka tidak ada alasan sama
sekali untuk patuh dan taat“. (Muslim, 1994, jil. 3 : 560).
2.4Kesimpulan.
Kesimpulannya segala urusan pentadbiran dan pengurusan
adalah terletak pada diri umat Islam sendiri untuk memilih atau menentukan
sistem pentadbiran yang difikirkan perlu dan bersesuaian dengan keadaan dan
semasa, di samping itu umat Islam perlu mematuhi segala prinsip-prinsip
pentadbiran dan pengurusan yang telah ditetapkan oleh Allah dan RasulNya. Umat
Islam juga dituntut supaya memilih dan melantik sesiapa yang memiliki ciri-ciri
kepegawaian yang telah digariskan oleh Islam. Selain daripada itu segala
kerjasama dari semua pihak adalah amat diharapkan dalam memastikan segala
objektif yang diharapkan tercapai.
Memelihara kebersihan sama ada dari aspek material mahupun
spiritual merupakan suatu perkara yang dituntut oleh Islam terhadap para
pengganutnya. Rasulullah (SAW) telah menegaskan bahawa kebersihan itu merupakan
di antara elemen-elemen pelengkap kepada kesempurnaan keimanan seseorang, hal
ini dijelaskan oleh Baginda (SAW) menerusi hadith yang telah diriwayat oleh Abu
Malik al-Asy’ari sebagai berikut :
Terjemahan: Rasulullah (SAW) telah bersabda, “Kebersihan itu
setengah (sebahagian) daripada iman.” (Muslim, 1994, jil.1 : 324).
3.1Tuntuan Supaya
Memelihara Kebersihan Masjid.
Suasana persekitaran yang bersih bagi sesuatu tempat memberi
ketenteraman dan ketenangan kepada para pengunjungnya untuk melakukan segala
bentuk aktiviti dan sebagainya, menyedari hakikat ini Rasulullah (SAW) telah
memerintahkan umat Islam supaya sentiasa memelihara kebersihan masjid
berdasarkan kepada hadith yang telah diriwayatkan oleh Aishah (r.a):
Terjemahan: Nabi (SAW) telah memerintahkan supaya didirikan
masjid-masjid pada kabilah-kabilah dan hendaklah masjid itu dibersihkan dan
diberi wangi-wangian”. (al-Tarmizi, 1993, jil. 1 : 722).
3.2Tuntutan
Membersihkan Masjid Dari Kekotoran.
Telah menjadi tanggung jawab ke atas umat Islam supaya
membersihkan segala kekotoran yang terdapat di masjid walaupun kekotoran yang
bukan najis, berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik
(r.a);
Terjemahan: Nabi (SAW) telah bersabda, meludah dalam masjid
adalah merupakan satu kesalahan dan dendanya ialah menimbusnya
(membersihkannya)”. (al-Bukhari , jil. 2 : 47)
Lebih-lebih lagi kekotoran yang berbentuk najis sebagaimana
yang telah dijelaskan oleh Anas bin Malik (r.a) berhubung dengan pengurusan
yang dilaku Rasulullah (SAW) dalam memastikan masjid sentiasa berada dalam
keadaan bersih;
Terjemahan: Daripada Anas bin Malik telah berkata : “Ketika
kami sedang berada di masjid bersama-sama Rasulullah (SAW) tiba-tiba datang
seorang Arab Badwi, ia berdiri lalu kencing di dalam masjid, maka para sahabat
Rasulullah berkata : “Jangan, jangan”. Rasulullah (SAW) telah bersabda :
“Jangan kamu hentikan dia, biarkan sahaja”. Para sahabat membiarkannya sampai
ia selelsai, kemudian Rasulullah (SAW) memanggilnya lalu bersabda kepadanya
(Arab Badwi): “Sesungguhnya masjid-masjid itu tidak patut untuk kencing atau
kotoran lainnya. Ia hanya untuk berzikir kepada Allah Azza Wa Jalla, sembahyang
dan membaca al-Quran” atau sebagaimana yang telah disabdakan oleh Rasulullah
(SAW).Anas berkata : “Kemudian Rasulullah (SAW) memerintahkan salah seorang di
antara mereka agar mengambilkan air, orang itu datang dengan membawa setimba
air, lalu beliau (SAW)menjiruskannya pada air kencing tadi”. (Muslim, 1994,
jil. 1 : 386).
3.3Tuntutan
Menghindarkan Bau Busuk Dari Masjid.
Selain daripada memelihara kebersihan masjid dari segala
bentuk kekotoran umat Islam juga dituntut supaya memastikan masjid terhindar
dari bau-bauan yang kurang menyenangkan. Berdasarkan kepada hadith yang telah
diriwayatkan oleh Ibn Umar (r.a) telah menjelaskan bahawa Nabi Muhammad (SAW)
melarang orang-orang yang memakan bawang putih dari hadir ke masjid kerana ia
mendatangkan bau yang kurang menyenangkan terhadap orang lain.
Terjemahan: Daripada Ibn Umar (r.a) bahawa Rasulullah (SAW)
telah bersabda dalam peperangan Khibar : “Barang siapa yang memakan
tumbuh-tumbuhan ini (dimaksudkannya bawang putih) maka janganlah datang ke
masjid”. (Muslim, 1994, jil. 1 : 667).
2.4Anjuran Supaya
Menyegarkan Udara Masjid.
Sesungguhnya umat Islam bukan sekadar dituntut supaya
menghindarkan bau-bauan yang kurang menyenangkan di kawasan persekitaran
masjid, sebaliknya mereka juga disarankan agar mengharumkan serta menyegarkan
udara masjid sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Rasulullah (SAW) menerusi
hadith yang telah diriwayatkan oleh Aishah (r.a)
Terjemahan: Nabi (SAW) telah memerintahkan supaya didirikan
masjid-masjid pada kabilah-kabilah dan hendaklah masjid itu dibersihkan dan
diberi wangi-wangian”. (al-Tarmizi, 1993, jil. 1 : 722).
2.5Galakkan Supaya
Mengindahkan Masjid.
Suasana indah, menarik, kemas dan teratur pada sesebuah
tempat menjadi daya penarik kepada masyarakat untuk mengunjunginya. Oleh itu
usaha-usaha untuk memperindahkan serta memperkemaskan masjid harus dilaksanakan
kerana ia bersesuaian dengan kehendak Islam berdasarkan kepada hadith yang
telah diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas’ud (r.a) daripada Nabi Muhammad (SAW);
Terjemahan: Sesungguhnya Allah itu indah (cantik)suka kepada
keindahan”. (Muslim, 1994, jil. 1 : 95).
Dan firman Allah yang bermaksud :
Terjemahan: Katakanlah: “Siapakah yang melarang (memakai)
perhiasan Allah dan (memakan) rezeki yang baik yang diadakan untuk
hamba-hambaNya”. (al-A’araf, 7 : 32).
2.6Kesimpulan.
Tugas membersihkan masjid dari segala kekotoran,
mengindahkan serta memperkemaskannya adalah merupakan suatu tugas yang mulia di
sisi Islam. Sesungguhnya Rasulullah (SAW) telah memberikan suatu kedudukan yang
istimewa terhadap orang-orang yang sentiasa berusaha untuk memastikan keadaan
masjid dan kawasan persekitarannya sentiasa berada di dalam keadaan bersih,
kemas dan teratur. Abu Hurairah (r.a) telah menjelaskan tentang kedudukan yang
diperolehi oleh golongan ini sebagai berikut :
Terjemahan: Bahawa seorang lelaki atau perempuan hitam
menyapu di dalam masjid kemudian ia meninggal dunia, maka Nabi (SAW) bertanya
mengenainya. Para sahabat menjawab bahawa ia telah meninggal dunia, Bgainda
(SAW) bersabda : “Kenapa kamu tidak memberitahu kepadaku, tunjukkan kepadaku
kuburnya” (lelaki/perempuan) maka baginda ke kuburnya lalu bersembahyang.
(al-Bukhari, jil. 2 : 77).
Begitu juga dengan hadith yang telah diriwayatkan oleh Anas
bin Malik (r.a) berhubung hal ini seperti berikut :
Rasulullah (SAW) telah bersabda : “Telah diperlihatkan
bagiku pahala umatku sampai pahala seseorang yang membuang kekotoran dari
masjid”. (Abu Daud, 1992, jil. 1 : 307).
Waktu merupakan sesuatu yang amat bernilai pada diri manusia
sehingga ia diibaratkan sebagai emas oleh sesetengah manusia. Perbicaraan dalam
bahagian ini akan menyentuh bagaimanakah Islam mengajarkan umatnya memanfaatkan
waktu ke arah kebaikkan hidup di dunia dan akhirat. Sebagaimana yang telah
dijelaskan oleh Allah ta’ala di dalam firmanNya yang bermaksud :
Terjemahan: Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada di
dalam kerugian, melainkan mereka-mereka yang beriman dan beramal salih serta
berpesan-pesan pada kebenaran dan kesabaran. (Al-‘Asr, 103 : 1-3).
4.1Pengurusan Waktu
Sembahyang.
Sembahyang merupakan ibadat yang paling penting sekali di
dalam Islam sehingga ia diumpamakan sebagai tiang agama oleh Rasulullah (SAW).
Agama Islam telah mengarahkan umatnya agar memelihara waktu–waktu sembahyang
ini demi kebaikkan hidup mereka di dunia dan akhirat.
i.Ketetapan Waktu Sembahyang.
Allah s.w.t. telah menetapkan waktu-waktu solat yang
tertentu bagi kaum muslim menerusi firmaNya;
Terjemahan: Sesungguhnya sembahyang itu adalah fardhu yang
telah ditentukan waktunya atas orang-orang yang beriman. (al-Nisa’, 4 : 103).
Rasulullah (SAW) telah memberi penjelasan secara terperinci
terhadap waktu-waktu sembahyang yang wajib dipatuhi oleh setiap umat Islam
melalui amal perbuatannya sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh Jabir bin
Abdullah;
Terjemahan: Bahawa Rasulullah (SAW) mengerjakan sembahyang
zohor di tengah hari (selepas gelincirnya matahari), sembahyang asar semasa
matahari masih cerah, sembahyang maghrib apabila mathari terbenam, sembahyang
isyak apabila orang ramai telah berkumpul, maka baginda menyegerakannya dan
apabila mereka itu sedikit, maka Baginda (SAW) melambatkannya, dan sembahyang
subuh pula apabila masih gelap lagi. (al-Bukhari, jil. 2 : 142).
Menjadi kewajipan ke atas umat Islam untuk memelihara
waktu-waktu sembahyang yang telah ditetapkan oleh Allah dan RasulNya.
ii.Tuntutan Memelihara Waktu Sembahyang.
Penekanan terhadap umat Islam supaya memelihara waktu
sembahyang lima waktu terutamanya sembahyang fardhu asar telah pun ditegaskan
oleh Allah ta’ala di dalam firmaNya yang bermaksud :
Terjemahan: Peliharalah semua sembahyang (mu) dan
peliharalah sembahyang wustha (asar). Berdirilah untuk Allah dalam sembahyang
kamu dengan khusyu’. (al-Baqarah, 2 : 238).
Menerusi hadith qudsi yang telah diriwayatkan oleh Abu
Qatadah bin Rabi’, Rasulullah (SAW) telah menjelaskan bahawa Allah ta’ala telah
menjanjikan kepada sesiapa daripada umat Islam yang memelihara waktu sembahyang
lima waktu untuk menduduki syurga.
Terjemahan: Daripada Abu Qatadah bin Rabi’ (r.a) telah
berkata : Rasulullah (SAW) telah bersabda : “Allah Ta’ala telah berfirman :
“Sesungguhnya Aku telah memfardhukan atas umatmu lima kali sembahyang Aku telah
mengikat janji iaitu barangsiapa memeliharanya tepat pada waktunya, Aku akan
masukkan dia ke syurga, dan barangsiapa tidak memeliharanya, maka tidak ada
ikatan bagiku dengannya”. (Abu Daud, 1992, jil. 1 : 228).
4.2Pengurusan waktu
Pembelajaran.
Kewajipan menuntut ilmu pengetahuan telah pun dijelaskan
oleh Baginda (SAW) di dalam hadithnya;
Terjamehan: Menuntut ilmu adalah wajib ke atas setiap
muslim. (Sunan Ibn Majah, al Muqaddimah : 220)
Kedudukan golongan yang berilmu adalah lebih tinggi dan
mulia dari golongan yang tidak berpengetahuan berdasarkan kepada firman Allah
ta’ala;
Terjemahan: ...Allah meninggikan darjat orang-orang yang
beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan ugama
(dari kalangan kamu) - beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam
PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan.. (al-Mujadilah, 58 : 11).
Oleh itu umat Islam disarankan agar memanfaatkan waktu
terluang untuk mendapatkan ilmu pengetahuan.
i.Kelonggaran Menentukan Waktu Pembelajaran.
Islam tidak pernah menetapkan suatu waktu yang tertentu ke
atas umat Islam supaya mematuhinya untuk mendapatkan ilmu pengetahuan,
sebaliknya satu kelonggaran telah diberikan kepada umat Islam untuk menentukan
waktu yang difikirkan sesuai untuk mereka menimba ilmu pengetahuan.
Terjemahan: Ibn Mas’ud (r.a) telah menjelaskan sikap
Rasulullah (SAW) berhubung masalah pengurusan waktu pembelajaran seperti
berikut : “Adalah Nabi (SAW) selalu mencari waktu-waktu yang sesuai untuk
memberikan pelajaran dan ilmu pengetahuan supaya kami tidak merasa jemu dan
bosan”. (al-Bukhari, jil. 1 : 79).
Ini adalah bertujuan untuk mengelakkan rasa jemu dan bosan
terhadap diri umat Islam di dalam mencari serta mendapatkan ilmu pengetahuan.
Terjemahan: Dari Mansur, dari Abu Wail telah berkata :
“Adalah Abdullah memberi pengajaran kepada manusia pada tiap-tiap hari khamis,
maka berkata seorang lelaki : “Wahai Abu Abd Rahman, demi Allah aku sangat
gembira sekiranya engkau dapat memberi pengajaran kepada kami tiap-tiap hari”.
Jawabnya : "Tidak ada halangan bagiku dari hal tersebut, cuma aku tidak
suka ianya akan membebankan kamu, sesungguhnya akau mencari waktu yang baik
untuk memberi pengajaran, sebagaimana pernah Nabi (SAW) mencari waktu yang baik
(sesuai)untuk memberi pengajaran kerana takut kami akan ditimpa perasaan jemu
dan bosan”. (al-Bukhari, jil. 1 : 80).
ii.Menentukan Hari khusus Bagi Wanita Menutut Ilmu
Sesungguhnya Agama Islam tidak pernah mengabaikan hak dan
keistimewaan bagi kaum wanita untuk mendapatkan ilmu pengetahuan. Rasulullah
(SAW) telah bersetuju memperuntukan suatu hari yang khusus bagi kaum wanita
mendapatkan ilmu pengetahuan apabila diminta berbuat demikian.
Terjemahan: Daripada Abu Sa’id al-Khudri bahawa kaum wanita
telah berkata kepada Rasulullah (SAW) : “Orang lelaki telah mengatasi kami
dengan engkau, maka tentukanlah bagi kami suatu hari (untuk menuntut
ilmu)”.Rasullulah (SAW) telah menjanjikan mereka suatu hari untuk menemui
mereka pada hari tersebut untuk memberi nasihat dan arahan-arahan”.
(al-Bukhari, jil. 1 : 109).
4.3Kesimpulan.
Umat Islam diarahkan supaya memelihara waktu-waktu
sembahyang fardhu yang telah ditetapkan oleh Allah dan Rasulnya, manakala
berhubung dengan waktu memberi atau mendapatkan ilmu pengetahuan adalah
terserah kepada umat Islam untuk menentukan waktu yang difikirkan bersesuaian.
Nasib kaum wanita untuk mendapatkan ilmu pengetahuan juga tidak boleh diabaikan
dan menjadi suatu kewajipan ke atas pihak yang bertanggung jawab agar
memperuntukkan suatu hari yang khusus bagi kaum wanita mendapatkan ilmu
pengetahuan.